
Maritim Malaysia Tawau tahan bot beroperasi tanpa lesen
TAWAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot tunda atas kesalahan tidak memperbaharui lesen di perairan Tanjung Batu kelmarin.
Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot yang sudah tamat lesen sejak Februari lalu itu ditahan dalam Op Pluto Timur dan Op Tiris ketika bergerak dari Perairan Tanjung Batu menuju ke Pelabuhan Tawau.
“Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan di kedudukan 0.18 batu nautika selatan Pelabuhan Tawau itu mendapati seorang nakhoda lelaki warga tempatan bersama dua kru bot tunda masing-masing seorang warga tempatan dan seorang warga Indonesia.
“Kesemua suspek berusia dalam lingkungan umur 52 hingga 55 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Shahrizan berkata, kesemua kru bot bersama bot tunda terbabit kemudian ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana beroperasi ketika lesen tamat tempoh.
Menurutnya, nilai rampasan termasuk bot tunda itu dianggarkan sekitar RM2 juta.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau MERS 999 untuk mendapatkan bantuan segera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








