
Bot kargo bawa muatan 1 tan beras tanpa permit ditahan
TAWAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo tempatan selepas disyaki gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa, petang semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, menerusi maklumat risikan, bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam Op Pluto Timur dan Op Tiris telah memintas bot kargo terbabit yang bergerak dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Pulau Sebatik.
“Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan di kedudukan 0.6 batu nautika selatan Pelabuhan Tawau itu mendapati seorang lelaki warga tempatan berumur 32 tahun, bertindak selaku nakhoda bot, mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Namun, pemeriksaan lanjut terhadap dokumentasi mendapati nakhoda itu gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa mereka,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, muatan yang dibawa itu termasuk 500 kilogram (kg) beras tempatan, 500 kg beras siam, 48 kg gula pasir berpaket dan empat gelen minyak petrol yang dianggarkan sebanyak 120 liter.
Susulan itu, bot kargo bersama nakhoda terbabit ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.
Nilai rampasan termasuk muatan dan bot itu dianggarkan sekitar RM55,000.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522).
Menurut Shahrizan, pihaknya juga akan menjalankan siasatan cubaan menyeludup ke negara jiran berikutan kuantiti muatan yang dibawa adalah kuantiti dagangan.
“Pelaksanaan penguatkuasaan secara konsisten ini juga dijadikan medium kesedaran dan pendidikan kepada komuniti maritim agar lebih peka dengan kesalahan yang dilakukan dan tidak berulang lagi,” ujarnya lagi.
Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau MERS 999 untuk mendapatkan bantuan segera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








