Kekecohan Kg Sg Baru: Tiga individu ditahan polis
KUALA LUMPUR – Tiga lelaki ditahan susulan insiden kekecohan yang berlaku ketika operasi pengosongan 37 unit kediaman di Kampung Sungai Baru, di sini, hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, operasi pengosongan tersebut dibuat berdasarkan undang-undang selepas Mahkamah mengeluarkan perintah yang sah, termasuk pampasan yang telah dibayar kepada pihak berkaitan.
“Untuk makluman semua ada tiga tangkapan, tapi perkara ini pada saya adalah suasana yang mungkin merasakan tidak puas hati dan sebagainya tapi tindakan ini kita buat berdasarkan undang-undang.
“Kita menguatkuasakan undang-undang sebab mahkamah telah mengeluarkan perintah pampasan telah dibayar dan sebagainya mungkin ada sedikit perkara yang tidak memuaskan hati pihak-pihak tertentu,” katanya.
Beliau menegaskan situasi keselamatan di sekitar Kampung Baru dan Kuala Lumpur secara amnya masih terkawal dan polis sentiasa meningkatkan tahap pengawasan.
Mengulas keadaan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman yang cedera dalam insiden tersebut, Mohd Khalid memaklumkan beliau sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Alhamdulillah sihat, luka sedikit itu biasalah dalam penugasan polis dan saya percaya beliau pun dapat rawatan yang sempurna.
“Saya menyeru juga supaya perkara begini kalau boleh kita cuba kawal diri dan perasaan kerana perkara-perkara begini sudah tentu akan menimbulkan kekecohan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan Simposium Sains Forensik Kebangsaan untuk Penguatkuasaan Undang-Undang (NAFSLE) di Maktab PDRM Kuala Lumpur.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu, dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan.
Terdahulu, Suzilme cedera ketika cuba mengawal keadaan semasa operasi pengosongan dijalankan, selepas sekumpulan penduduk merempuh masuk ke kawasan berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata beberapa individu yang dikenal pasti bukan penduduk setempat telah ditahan dan sedang disiasat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








