Layanan berbeza berdasarkan peruntukan kesalahan – KPN
KUALA LUMPUR – Layanan berbeza terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth dan aktivis, Arun Dorasamy ketika di bawa ke mahkamah, adalah berdasarkan peruntukan kesalahan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menjelaskan, walaupun mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan namun terdapat satu kes lain membabitkan Akta Hasutan 1948.
“Kesalahan berbeza-beza, ada yang boleh jamin ada yang tidak boleh. Jadi itulah tindakan-tindakan ini berdasarkan undang-undang.
“Mungkin orang awam melihat ia satu perkara yang berbeza tetapi kita melaksanakan undang-undang ini mengikut peruntukan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.
Kelmarin, peguam Zamri Vinoth mempersoalkan layanan pihak berkuasa terhadap anak guamnya yang didakwa berbeza berbanding seorang lagi aktivis yang turut berdepan tuduhan sama semalam.
Mengenai program dialog Harmoni MADANI membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan India, semalam, Mohd Khalid berkata, polis menyokong serta menghargai komitmen dan semangat perpaduan nasional bagi mencari penyelesaian membabitkan isu sensitif termasuk rumah ibadat.
Katanya, sesi dialog berkenaan diharapkan dapat membuka ruang persefahaman yang lebih luas antara komuniti Melayu dan India supaya setiap isu dapat dibincangkan secara matang dan diselesaikan secara konstruktif.
“Saya yakin bahawa dialog ini mampu menjadi satu langkah penting ke arah memperkukuhkan keharmonian antara komuniti serta memastikan Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan bersatu,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








