Kes Zara Qairina: PDRM beri amaran sebaran maklumat tidak sah
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyebarkan gambar dan maklumat tidak sah berhubung kes kematian Zara Qairina yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, tindakan individu yang menyebarkan maklumat tidak tepat bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, bahkan menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.
“Ada maklumat yang dikongsi adalah tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang awam. Tindakan sebegini bukan sahaja menjejaskan perjalanan siasatan malah berupaya mengganggu keadilan semua pihak,” katanya dalam kenyataan semalam.
PDRM menjelaskan bahawa semua proses siasatan termasuk isu bedah siasat (post-mortem) dijalankan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Mohd Khalid turut menegaskan bahawa penyebaran maklumat tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah beberapa akta sedia ada, termasuk Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001; Seksyen 203A Kanun Keseksaan (berkaitan pendedahan maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar rangkaian)
“PDRM menasihatkan pematuhan kepada undang-undang adalah asas kepada keamanan dan kesejahteraan negara. Sehubungan itu, sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan tegas,” ujarnya.
Tambah beliau, PDRM kekal komited memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa dipelihara demi kepentingan bersama.
Sebelum ini, beberapa gambar berkaitan kes tersebut telah tersebar di media sosial dan mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







