JENAYAH & MAHKAMAH

Peguam keluarga Zara Qairina sambut baik siasatan dikendalikan JSJ Bukit Aman

CYBERJAYA – Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengalu-alukan pengambil alihan siasatan kes berkenaan oleh pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Para peguam, Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi berkata, langkah itu merupakan salah satu daripada empat perkara yang dipohon dalam satu surat ke Jabatan Peguam Negara (AGC) bertarikh 5 Ogos lalu.

Keempat-empat permintaan itu adalah mengembalikan kertas siasatan kepada Polis Diraja Malaysia bagi diadakan siasatan semula; memohon supaya siasatan dilakukan oleh penyiasat berpengalaman daripada Bukit Aman; penggalian semula kubur Allahyarham supaya bedah siasat dapat dilaksanakan; dan mengadakan satu inkues bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kes kematian ini.

Untuk rekod, tiga daripada empat permintaan yang disenaraikan sudah dipenuhi oleh pihak berwajib.

“Perkembangan positif ini diharap dapat merungkai isu kematian Zara dan seterusnya membuktikan wujud unsur jenayah yang telah menyebabkan kematian tersebut,” kata kenyataan ringkas itu, hari ini.

Dalam kejadian 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asramanya pada pukul 4 pagi dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE1), Kota Kinabalu namun meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan unsur buli terlibat dalam kejadian tersebut.

Sabtu lepas, kubur Allahyarham digali semula bagi membolehkan satu bedah siasat dilaksanakan ke atas jenazahnya.

Proses bedah siasat itu dilakukan di HQE1 berlangsung selama lapan jam.

Selesai prosedur tersebut, jenazah kemudian dibawa kembali ke Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi untuk dikebumikan semula.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button