Polis siasat modus operandi, jaringan sindiket seludup M16
HULU SELANGOR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti modus operandi dan rangkaian organisasi seorang lelaki rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand selepas dipercayai cuba menyeludup dua laras senjata api jenis M16 ke negara ini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, suspek berusia 42 tahun itu kini masih ditahan di Thailand dan siasatan sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa negara jiran termasuk menghantar pegawai PDRM ke sana.
“Tahanan itu masih berada di sana dan kita sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan senjata ini akan dibawa ke Malaysia.
“Setakat ini, seorang individu ditahan dan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana modus operandi dan organisasi suspek,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Diploma Kepolisan dan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) di Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Tambah Mohd Khalid, polis turut menyiasat kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia yang digunakan suspek ketika ditahan dalam sekatan jalan raya di Danok, Sadao.
“Di sempadan ini kadang-kadang keluar masuk itu perkara biasa terutama bagi ahli perniagaan dan pihak tertentu yang sentiasa berhubung antara dua negara.
“Namun, kita tetap memperketatkan kawalan dan rondaan sempadan dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan suspek ditahan kira-kira pukul 5.35 petang di Jalan Kanchanawanit, Danok, bersama 450 butir peluru.
Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan menerima upah RM10,000 untuk menyeludup senjata tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








