Polis siasat dakwaan ‘Mr A’ terbabit sindiket dadah di Langkawi
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dakwaan kewujudan satu rangkaian sindiket pengedaran dadah di Pulau Langkawi yang dikatakan didalangi seorang anggota polis dikenali sebagai ‘Mr A’.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu serta kumpulan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.
Menurut beliau, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan negara termasuk jika membabitkan anggota pasukan keselamatan sendiri.
“Itu masih lagi dalam siasatan, saya perlu pastikan siapakah yang terlibat, individu yang berkaitan atau kumpulan yang berkaitan.
“Jadi kita tidak dapat memberikan komen buat sementara. Insya-Allah, saya akan panggil untuk adakan sidang akhbar,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Polis Diraja Malaysia Special Dialogue 2026, di sini hari ini.
Mohd Khalid berkata, PDRM akan mengambil tindakan tegas termasuk dari sudut perundangan sekiranya terdapat penglibatan anggota polis dalam sindiket terbabit.
“Kalau ia berkaitan dengan undang-undang keselamatan dan sebagainya, kita tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang,” katanya.
Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan kemunculan semula rangkaian pengedaran dadah yang dikatakan beroperasi secara tersusun di sekitar Langkawi selepas kematian ketua sindiket dikenali sebagai Mat Nahar atau ‘Pablo Escobar Langkawi’ enam tahun lalu.
Laporan itu turut mendakwa beberapa bekas ahli sindiket Mat Nahar kini dipercayai bergerak di bawah rangkaian baharu yang dikaitkan dengan individu dikenali sebagai ‘Mr A’.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








