JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga feri terbakar di limbungan Bukit Malut, tiada mangsa dilaporkan

LANGKAWI – Tiga buah feri yang sedang menjalani kerja penyelenggaraan musnah dalam satu kebakaran di sebuah limbungan pembaikan kapal di Bukit Malut, di sini malam tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dalam kejadian pukul 9.35 malam itu, kebakaran membabitkan feri yang sedang berlabuh berdekatan antara satu sama lain sebelum api merebak dan menyebabkan kerosakan besar terhadap sebahagian daripadanya.

Ketua Zon 4 Langkawi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohd Zamri Abd Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.46 malam sebelum menggerakkan empat jentera bomba ke lokasi kejadian.

“Empat jentera digerakkan iaitu tiga dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra dan dua dari BBP Langkawi bersama 23 anggota,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan tiga feri yang sedang berlabuh berhampiran antara satu sama lain.

“Dua feri terbakar dengan kadar kemusnahan dianggarkan sebanyak 80 peratus dan hanyut sejauh kira-kira 50 meter, manakala sebuah lagi feri terbakar sekitar lima peratus.

“Dua feri lain yang berlabuh berhampiran berjaya diselamatkan, manakala sebuah lagi feri ditarik keluar dan ditempatkan di boya terapung,” katanya.

Mohd Zamri berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos sepanjang 91 meter dengan dua pancutan air yang dibekalkan daripada tangki jentera bomba.

“Dalam operasi itu, sebuah feri yang terbakar ditarik ke tebing dengan bantuan bot nelayan manakala sebuah lagi feri yang terbakar dengan api marak dibiarkan padam sendiri,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 11.07 malam sebelum operasi ditamatkan pada pukul 2.10 pagi.

“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button