Dakwaan Malaysia pusat operasi Hamas tidak berasas – KPN
KUALA LUMPUR – Dakwaan Malaysia dijadikan pusat operasi Hamas adalah tidak berasas kerana tahap keselamatan negara sentiasa terjamin.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, walaupun sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin amat dekat di hati rakyat Malaysia, agensi keselamatan tetap berwaspada supaya semangat solidariti itu tidak dieksploitasi.
“Berdasarkan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam, perjuangan di Palestin sememangnya dekat di hati rakyat.
“Atas sebab itu, kita sentiasa memberi sokongan berterusan kepada Palestin, bagaimanapun agensi keselamatan tetap berwaspada supaya semangat solidariti itu tidak dieksploitasi untuk tujuan yang menyalahi undang-undang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Tambahnya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalin kerjasama baik dengan semua agensi kerajaan, khususnya Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), sentiasa berhubung, berkongsi maklumat serta mengambil tindakan bersama dalam menangani isu berkaitan.
Mohd Khalid turut merujuk kejayaan operasi rentas sempadan kebelakangan ini sebagai bukti kesiapsiagaan Malaysia dalam menjaga keselamatan negara.
“Negara jiran juga memberikan kerjasama yang baik serta berkesan. Seperti yang semua maklum, kes tangkapan di Sadao membabitkan penyeludupan senjata api berjaya digagalkan dengan tindakan undang-undang diambil pihak berkuasa Thailand.
“Kita berkongsi maklumat dengan Thailand untuk mengenal pasti rangkaian mereka dan akan terus bekerjasama dalam perkara sebegini,” katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan ancaman keganasan, penyeludupan senjata mahupun rangkaian jenayah rentas sempadan.
“Keselamatan negara adalah terkawal, kita akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan rakan serantau bagi memastikan tiada kumpulan yang menjadikan negara ini sebagai pangkalan operasi,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut, bekas penganalisis kewangan keganasan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer, membuat dakwaan bahawa Malaysia telah lama menjadi pusat operasi anggota Hamas dan menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak berminat dengan perdamaian.
Kritikan tersebut muncul selepas Anwar menegaskan pendirian Malaysia untuk terus menyokong Palestin dan menggesa supaya hubungan dengan Israel diputuskan kerana Gaza terus dihancurkan manakala Tebing Barat dirampas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








