BERITA SEMASADALAM NEGERI

KPN mahu kes jurujual Dayak di Central i-City disiasat segera

PUTRAJAYA – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera terhadap individu yang memaki dan mengugut seorang jurujual wanita di Central i-City Shah Alam.

Dalam kejadian itu, seorang wanita berketurunan Dayak dipercayai dihambur kata-kata kesat hanya kerana syiling 50 sen.

Beliau menegaskan, insiden itu bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah bertentangan dengan prinsip Rukun Negara yang dijunjung rakyat negara ini.

“Tindakan bersifat perkauman dan tidak bertamadun seperti ini harus ditangani dengan serius. Saya menggesa PDRM menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku.

“Lebih mendukacitakan, insiden ini melibatkan kata-kata berbaur perkauman yang tidak sepatutnya wujud dalam masyarakat majmuk,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Aaron, Kementerian Perpaduan Negara (KPN)  tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana kaum, selain mengingatkan rakyat agar terus memelihara keharmonian dan perpaduan negara.

“Setiap individu mempunyai peranan penting dalam memastikan negara ini terus maju dengan penuh kasih sayang, hormat-menghormati dan saling memahami,” tambahnya.

Dalam kejadian di Central i-City itu, seorang jurujual dimaki oleh seorang pelanggan lelaki yang mendakwa dirinya seorang anggota pihak berkuasa.

Mangsa yang bertanyakan mengenai syiling 50 sen turut diugut akan digari.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button