JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki ditahan kes pukul anjing hingga mati

IPOH – Polis menahan seorang lelaki selepas tular video memaparkan seekor anjing dipukul hingga mati menggunakan besi di kawasan ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, laporan berhubung kejadian itu dibuat pada 19 September lalu di Balai Polis Menglembu.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah terhadap ahli keluarga dan Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 kerana kekejaman terhadap haiwan.

“Suspek kini dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan semula video atau kenyataan berkaitan kes tersebut kerana boleh menimbulkan kegusaran awam, selain menegaskan polis memandang serius kes penderaan haiwan.

Terdahulu, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menggesa saksi kejadian tampil membuat laporan kepada polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar selepas rakaman berdurasi 90 saat itu tular di media sosial.

Video berkenaan memaparkan seorang lelaki mengejar seekor anjing sebelum memukulnya dengan besi, manakala seorang wanita cuba menghalang namun gagal.

Rakaman turut menunjukkan anjing berkenaan terbaring di atas meja dalam keadaan berlumuran darah.

SAFM mendakwa suspek yang terbabit dalam kejadian itu dipercayai anak kepada pemilik anjing berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button