JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Timor Leste dipenjara 10 tahun rogol remaja

KOTA KINABALU – Seorang lelaki warga Timor Leste dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah merogol seorang remaja bawah umur yang dikenali menerusi aplikasi TikTok, tahun lalu.

Hakim Monica Linsua menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Rafinus Bata Tukan, 30, sebaik pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mahkamah turut memerintahkan tempoh pemenjaraan bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 19 Disember 2025 dan tertuduh perlu dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebaik sahaja selesai menjalani hukuman berkenaan.

Mengikut fakta kes, perbuatan terkutuk itu terbongkar selepas bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan anak perempuannya yang berusia 15 tahun sembilan bulan pada 6 Disember tahun lalu.

Siasatan mendapati mangsa telah keluar mengikut tertuduh yang baru dikenali selama sebulan melalui aplikasi TikTok dengan menaiki sebuah motosikal.

Mangsa kemudiannya menceritakan kepada bapanya bahawa tertuduh telah merogolnya di sebuah bilik sewa di Inanam kira-kira jam 7 malam pada 7 Disember.

Berdasarkan laporan tersebut, pihak berkuasa berjaya menahan tertuduh untuk tindakan lanjut.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Shaferrah Mad Iskim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam dalam prosiding tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button