
Keluarga 3 lelaki ditembak polis desak PM campur tangan, tubuh RCI
PETALING JAYA – Keluarga tiga lelaki yang maut ditembak polis di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lalu menuntut campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat insiden itu.
Peguam Lawyers for Liberty (LFL), Rajesh Nagarajan berkata, bukti termasuk rakaman audio sepanjang 13 minit 53 saat yang merakam detik-detik sebelum kematian ketiga-tiga lelaki itu menunjukkan tindakan segera kerajaan diperlukan.
“Ini bukan tembak-menembak, ini satu eksekusi. Kebenaran mesti didedahkan,” katanya pada sidang media di pejabat LFL, semalam.
Keluarga mangsa iaitu M. Puvaneswaran, 24; M. Pushpanathan, 21; dan G. Logeswaran, 29, menyatakan mereka tidak lagi mempercayai polis dapat menjalankan siasatan secara adil.
Sidang media turut menayangkan rakaman yang dirakam isteri Logeswaran, Jayasri, 31, yang berada dalam panggilan dengan suaminya sehingga tembakan dilepaskan.
Pengasas Agamam Ani, Arun Dorasamy berkata, rakaman itu bercanggah dengan kenyataan polis kerana ketiga-tiga lelaki sedang menuju Kuala Lumpur untuk tujuan ibadah 48 hari dan bukannya melakukan jenayah.
Rakaman turut menunjukkan kenderaan mereka diikuti sebuah Perodua Aruz tanpa nombor plat dan selepas kenderaan mangsa berhenti, terdengar jeritan dan bunyi tembakan.
Pakar forensik yang dilantik Agamam Ani, G. Venodthan, berkata, tiada bunyi menunjukkan mangsa menyerang pegawai atau bergelut, sebaliknya mereka kelihatan bingung tetapi patuh.
Hasil bedah siasat turut menunjukkan trajectory peluru dari atas ke bawah, seakan mangsa sedang berlutut ketika ditembak, menguatkan dakwaan eksekusi.
Ibu bapa Puvaneswaran dan Pushpanathan dilihat menitiskan air mata, manakala Jayasri yang membawa anak perempuannya berusia empat tahun kelihatan trauma ketika sidang media berlangsung.
LFL dan Agamam Ani menegaskan enam tuntutan telah dikemukakan termasuk membuka siasatan membunuh, menggantung pegawai terlibat, menggantung kakitangan disyaki memalsukan bukti, campur tangan Kabinet Persekutuan dan menubuhkan RCI.
Sebelum itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketiga-tiga lelaki disyaki ahli “Geng Durian Tunggal” dan menyerang pegawai semasa operasi Op Casa Melaka.
Polis turut merampas parang daripada suspek.
Kes itu kini menjadi tumpuan orang ramai dengan desakan agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi memastikan keadilan ditegakkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








