BERITA SEMASADALAM NEGERIPMX

Institusi pertahanan perlu dibina atas profesionalisme, bukan slogan – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kekuatan serta kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara tidak boleh dibina dengan slogan atau retorik semata-mata, sebaliknya mesti diperkukuh melalui amalan profesionalisme, akauntabiliti dan integriti yang tegas serta konsisten di setiap lapisan pentadbiran dan operasi.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat yang baharu, Jeneral Datuk Azhan Md Othman, di sini, hari ini, yang turut membincangkan peranan strategik Tentera Darat sebagai benteng pertahanan negara serta sandaran utama harapan rakyat.

Menurut Anwar, cabaran semasa yang dihadapi institusi pertahanan, termasuk isu salah guna kuasa dan rasuah, berpotensi mencalar imej serta keyakinan awam sekiranya tidak ditangani secara berani dan berprinsip.

“Tiada kompromi terhadap sebarang pelanggaran amanah. Ketelusan, kejujuran dan keberanian untuk membersihkan kelemahan mesti menjadi pegangan bagi memastikan maruah Angkatan Tentera Malaysia terus terpelihara,” katanya melalui Facebook beliau hari ini.

Perdana Menteri menegaskan, usaha memperkukuh integriti institusi pertahanan bukan sahaja penting dari sudut tadbir urus malah menjadi asas kepada kesiapsiagaan dan keberkesanan operasi dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan Azhan Md Othman, di Putrajaya, hari ini. Foto : PMO

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI akan terus mendukung dan menyokong usaha Tentera Darat untuk kekal sebagai pasukan yang berwibawa, profesional dan disegani di peringkat nasional serta antarabangsa.

Anwar turut menekankan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan pegawai dan anggota, termasuk keluarga serta para veteran Angkatan Tentera Malaysia, sentiasa diberi perhatian sewajarnya sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka kepada negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button