Usaha Anwar bawa pulang aktivis Malaysia disifatkan kejayaan besar
KUALA LUMPUR – Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa pulang semua aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) disifatkan sebagai satu kejayaan besar buat kerajaan Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, kejayaan itu menunjukkan kecekapan diplomasi negara dan komitmen tinggi terhadap isu kemanusiaan antarabangsa.
“Terima kasih dan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesungguhan beliau dalam usaha membawa pulang 23 aktivis daripada Global Sumud Flotilla (GSF) ke Istanbul.
“Mungkin hasil solidariti dan hubungan diplomatik erat yang terjalin selama ini dengan Türkiye, lebih 100 peserta daripada lebih 400 yang menyertai GSF telah dibebaskan dan dibawa ke Türkiye.
“Kejayaan ini juga agak mengejutkan kerana dapat direalisasikan dalam tempoh yang begitu singkat,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini semalam.
Mengulas mengenai perkembangan Gelombang Ketiga misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang kini dalam pelayaran menuju Gaza, beliau berkata pasukan perundangan akan digerakkan sekiranya berlaku sebarang penahanan atau rampasan oleh pihak tertentu.
“Kita berharap mereka dapat tiba ke bumi Gaza supaya bantuan kemanusiaan yang dirancang dapat disampaikan.
“Kita membawa lebih 20 pakar perubatan dan lebih 20 pengamal media serta wartawan bagi melaporkan secara langsung perkembangan misi ini.
“Kita maklum sektor perubatan di Gaza terjejas teruk hospital dibom, doktor dibunuh dan wartawan turut menjadi mangsa.
“Maka, kita berharap bidang perubatan dan media ini dapat diperluaskan bagi memastikan lebih banyak bantuan disalurkan kepada masyarakat di Gaza,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru agar kerajaan pimpinan Perdana Menteri terus berusaha memastikan keselamatan semua aktivis dalam misi kemanusiaan tersebut.
“Kita mengharapkan mereka dapat tiba ke Gaza dengan selamat dan insyaAllah, bantuan dapat disalurkan segera,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








