Harga RON95 turun RM1.99 seliter akhir September – Anwar
JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter pada akhir bulan ini sebagaimana diumumkan kerajaan pada Julai lalu.
Menurut beliau, rakyat tidak perlu gusar kerana janji yang dibuat kerajaan tetap akan ditunaikan biarpun berdepan cabaran ekonomi semasa.
“Ada yang marah kerana September sudah tiba tetapi harga minyak belum turun. Saya kata sebelum akhir September, adakah 10 September sudah dianggap akhir bulan?” katanya ketika berucap pada Rapat Umum 27 Tahun Reformasi PKR Johor hari ini.
Anwar berkata, penurunan harga itu menunjukkan kerajaan pimpinannya berbeza dengan negara lain yang tidak menurunkan harga petrol.
“Beritahu saya, negara mana yang menurunkan harga petrol mereka ketika ini? Sebab negara ini diperintah oleh kerajaan yang memikirkan rakyat dan menunaikan janji,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan kepentingan rakyat sentiasa menjadi pertimbangan utama dalam penetapan harga minyak, kenaikan gaji pekerja serta bantuan kerajaan.
“Perdana Menteri tidak ambil gaji, malah gaji menteri dipotong sebanyak 20 peratus,” jelasnya lagi.
Terdahulu, pada 23 Julai lalu, kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter bagi warganegara Malaysia menjelang akhir September.
Buat masa ini, harga runcit petrol RON95 kekal pada RM2.05 seliter, manakala RON97 naik dua sen kepada RM3.18 seliter bagi tempoh 11 hingga 17 September, menurut Kementerian Kewangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








