PRN: PM gesa pengundi Johor di luar negeri pulang tunaikan tanggungjawab Sabtu ini
JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pengundi Johor yang berada di luar negeri termasuk Singapura supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, setiap undi penting dalam menentukan masa depan negeri serta hala tuju rakyat Johor.
Katanya, rakyat tidak boleh memandang ringan tanggungjawab sebagai pengundi kerana keputusan yang dibuat mampu menentukan perubahan kepada negeri berkenaan.
“Ada orang tanya, patutkah saya balik mengundi? Saya beritahu, undi ini untuk masa depan kamu sendiri, untuk kelangsungan hidup kamu, untuk integriti dan maruah kamu.
“Setiap undi penting,” katanya ketika berucap pada Program Grand Finale Harapan Johor Selatan di Taman Pelangi Indah, di sini malam tadi.
Anwar berkata, rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan kerajaan yang bakal mentadbir negeri menerusi pilihan yang dibuat pada hari pengundian.
Beliau berkata, walaupun terdapat keputusan menetapkan hari pengundian pada Sabtu, rakyat perlu mengambil peluang yang ada untuk keluar mengundi.
“Rakyat bangkit, rakyat buat keputusan. Kita akan datang dan memberikan undi serta mengubah perjalanan sejarah,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap semangat penyokong yang hadir walaupun program berakhir lewat malam.
Katanya, kehadiran ramai penyokong membuktikan keyakinan mereka terhadap usaha membawa perubahan di Johor.
“Pembangunan Johor perlu digerakkan secara bersama dengan melibatkan semua kaum bagi memastikan negeri itu terus maju dan sejahtera,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















