Dua warga asing mati ditembak, disyaki terlibat lebih 50 kes samun bersenjata
KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga asing yang dipercayai terbabit dalam lebih 50 kes samun bersenjata dan pecah rumah, melibatkan kerugian melebihi RM3 juta, ditembak mati oleh polis dalam satu kejadian di Cheras awal pagi tadi.
Kedua-dua suspek dipercayai dalang kepada satu kumpulan samun yang dianggotai 15 individu dan aktif menjalankan kegiatan jenayah sejak tahun 2012.
Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, sepasukan pegawai dari JSJ Bukit Aman dan JSJ Kontinjen Pahang yang menjalankan tugasan pencegahan jenayah menerusi Op Aman 6 telah mengesan sebuah kereta mencurigakan di Taman Pertama, Cheras pada pukul 3.45 pagi.
“Mereka (suspek) cuba melakukan halangan dengan melanggar kenderaan pasukan polis selain turut melepaskan tembakan ke arah polis sehingga memaksa tembakan balas dilepaskan bagi tujuan mempertahankan diri,” katanya dalam memetik laporan Buletin TV3.
Suspek disahkan maut di dalam kenderaan akibat terkena tembakan dan pemeriksaan lanjut menemukan dua pucuk senjata api jenis revolver dan semi auto, dadah, serta pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan samun dan pecah rumah.
Tambah Fadil, kumpulan terbabit bukan sahaja menyasarkan unit kediaman mewah di Lembah Klang malah aktif menyamun di Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.
“Kita juga percaya, kedua-dua suspek ini dalam perancangan untuk melakukan jenayah samun berdasarkan penemuan peralatan samun seperti pemotong besi, sarung tangan, sarung muka serta senjata api dan dadah,” ujarnya lagi.
Pihak polis kini sedang giat mengesan baki 13 ahli kumpulan berkenaan menerusi kerjasama JSJ dari beberapa kontinjen termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.
Orang ramai yang pernah menjadi mangsa kumpulan ini diminta segera tampil membuat laporan polis dan digesa menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








