Tiga maut ditembak: Polis tahan warga emas, motif hutang disiasat
KOTA TINGGI – Seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun ditahan polis selepas disyaki melepaskan tembakan sehingga mengakibatkan tiga individu maut dalam kejadian di sebuah restoran di Taman Kota Jaya, di sini, hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek ditahan kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian sekitar jam 2 petang, tidak lama selepas insiden berlaku pada jam 1.30 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai lesen senjata api yang sah dan turut memiliki senjata jenis senapang patah (shotgun) yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
“Polis berjaya merampas senjata api jenis Benelli M/Super dengan nombor siri M104817 yang dipercayai digunakan untuk menembak mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta merupakan seorang pekebun yang memiliki lesen senjata api untuk tujuan menjaga kawasan tanaman.
Ab Rahaman berkata, kejadian tersebut mengorbankan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 37 hingga 63 tahun di lokasi kejadian.
“Lesen senjata api yang dimiliki suspek adalah untuk tujuan kawalan haiwan perosak tanaman, namun ia dipercayai disalahgunakan dalam kejadian ini,” katanya lagi.
“Siasatan awal tidak menemui sebarang unsur kongsi gelap atau keganasan, namun polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian berpunca daripada masalah hutang peribadi.
“Setakat ini, motif sebenar masih dalam siasatan lanjut,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek akan direman di Mahkamah Majistret Kota Tinggi esok bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








