Enam cedera dalam amukan wanita warga asing di Kajang
KAJANG – Enam individu cedera selepas seorang wanita warga asing mengamuk dengan memandu secara berbahaya, melanggar tiga penunggang motosikal sebelum menyerang orang awam dengan pisau berhampiran sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 1.48 pagi yang memaklumkan tindakan agresif suspek di kawasan lampu isyarat persimpangan tidak jauh dari Hospital Kajang.
“Selepas melanggar penunggang motosikal, suspek keluar daripada kenderaan lalu menyerang orang awam yang berada berdekatan dengan bersenjatakan pisau.
“Hasil bantuan orang awam, wanita itu berjaya ditahan bersama dua bilah pisau sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Menurut Naazron, enam mangsa warga tempatan berusia 21 hingga 60 tahun mengalami kecederaan, dengan dua daripadanya dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan lanjut manakala empat lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Tiga motosikal turut mengalami kerosakan akibat dilanggar.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok untuk siasatan mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kami masih menyiasat motif kejadian. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nursyaza Farhah Samhairi di talian 017-6919817,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan wanita berkenaan keluar dari kenderaannya sambil memegang pisau selepas terlibat kemalangan.
Orang awam yang cuba menghampiri suspek kemudian dikejar oleh suspek yang bersenjatrakan pisau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








