Pergelangan tangan milik mangsa pergaduhan rebut kawasan dadah
IPOH – Penemuan pergelangan tangan manusia di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, di Tanjung Rambutan dipercayai milik salah seorang daripada 20 individu yang terlibat dalam pergaduhan di sini semalam.
Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Ahmad berkata, siasatan terhadap kes pergaduhan itu mendapati terdapat tiga mangsa mengalami kecederaan pada bahagian tangan.
Katanya, salah seorang daripada mangsa putus pergelangan tangan kiri, mangsa kedua pula hampir putus pergelangan tangan kiri dan seorang lagi putus urat di tapak tangan kiri.
“Kesemua mangsa berusia antara 26 hingga 30 tahun tersebut kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
“Kita percaya punca pergaduhan disebabkan oleh perebutan kawasan dadah,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu Abang Zainal berkata, polis telah menahan tiga lelaki berusia 23 hingga 37 tahun yang disyaki suspek dapat membantu siasatan.
Katanya, ketiga-tiga suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan tahanan reman.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Mohamad Syafiq Ghazali menerusi talian 013-7962051 atau mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








