BERITA SEMASA

Elak main mercun, bunga api selepas tengah malam – Polis Negeri Sembilan

SEREMBAN – Polis menasihatkan orang ramai di Negeri Sembilan supaya tidak bermain mercun dan bunga api melebihi pukul 12 tengah malam ketika musim Tahun Baharu Cina ini.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, individu yang gagal mematuhi peraturan tersebut sehingga mengganggu ketenteraman awam boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Kita menyediakan satu pasukan di setiap daerah bagi menjalankan rondaan serta memantau aktiviti permainan mercun.

“Jadi, orang ramai ditegah daripada bermain mercun melebihi jam 12 tengah malam dan sekiranya berlaku pelanggaran, mereka akan diambil tindakan berlandaskan peruntukan undang-undang,” katanya dalam sidang media selepas hadir pada majlis Pelancaran Op Selamat 25 TBC di Tol Senawang, di sini hari ini.

Menurutnya, setiap aktiviti bermain mercun perlu diawasi orang dewasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Pada masa sama, katanya, aktiviti bermain mercun perlu dilakukan di kawasan lapang dan bukannya berdekatan dengan kediaman serta tempat yang berisiko menyebabkan kebakaran.

“Kita tidak mahu dalam musim perayaan ini ada rungutan, kegusaran atau gangguan terhadap ketenteraman awam.

“Saya harap semua pihak sentiasa bersikap toleransi dan bertolak ansur. Jadikan musim perayaan ini sebagai suatu kenangan yang indah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Alzafny berkata, sebanyak 800,000 kenderaan dijangka memasuki Negeri Sembilan sempena musim Tahun Baharu Cina ini.

Beliau berkata, sebanyak 12 lokasi panas kesesakan jalan raya di negeri ini telah dikenal pasti, manakala terdapat empat lokasi hitam yang sering berlaku kemalangan.

“Empat lokasi hitam tersebut ialah dua lokasi di Jalan Port Dickson-Lubuk Cina, Jalan Seremban-Kuala Pilah dan Jalan Seremban-Kuala Klawang-Simpang Pertang.

“Pada hari pertama Op Selamat dilaksanakan pada Ahad, sebanyak 111 kemalangan membabitkan dua kematian direkodkan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button