JENAYAH & MAHKAMAH

Konstabel polis mengaku tidak bersalah pandu di bawah pengaruh alkohol

TAWAU – Seorang anggota polis berpangkat konstabel dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau pada Selasa atas pertuduhan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang penunggang motosikal, September tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Rizal Mohd Najar, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau didakwa memandu sebuah Perodua Viva dalam keadaan dipengaruhi alkohol sehingga terbabit dalam kemalangan.

Hasil ujian mendapati kandungan alkohol dalam darah tertuduh adalah sebanyak 245 miligram bagi setiap 100 mililiter, melebihi had dibenarkan iaitu 195 miligram, sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal berusia 30 tahun mengalami kecederaan.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Jalan St Patrick menghala ke pusat bandar Tawau kira-kira jam 8.30 malam, 1 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun hingga maksimum 10 tahun, denda tidak kurang RM50,000 dan maksimum RM100,000 serta hilang kelayakan memandu tidak kurang 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, memohon jaminan sebanyak RM3,000 dengan dua penjamin tempatan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan lebih rendah dengan alasan perlu menanggung tiga orang anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 25 Februari depan untuk sebutan dan pengurusan kes.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button