Gaduh kes hempas pintu bilik air, komposer ditahan polis
AMPANG JAYA – Polis menahan seorang komposer yang juga gitaris selepas dipercayai memukul jiran (bilik sewa) menggunakan batang besi dalam kejadian di sebuah rumah di Pandan Indah, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, siasatan awal mendapati suspek dan mangsa sudah beberapa kali berselisih faham sebelum ini ekoran dakwaan bunyi alat muzik yang dimainkan suspek terlalu bising.
Menurut beliau, mangsa yang bekerja sebagai tukang masak dan berusia 52 tahun, membuat laporan polis pada 30 Jun lalu selepas terjaga daripada tidur sekitar pukul 6.30 pagi akibat bunyi hempasan pintu bilik air.
“Kerana tidak berpuas hati, mangsa keluar dari biliknya dan turut menghempas pintu bilik air berkenaan. Tidak lama kemudian, suspek yang merupakan jiran di bilik sebelah keluar membawa sebatang besi sebelum bertindak memukul mangsa.
“Pertengkaran mulut turut berlaku antara kedua-dua pihak dan suspek mengugut akan membawa rakannya untuk memukul mangsa. Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di tangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan laporan tersebut, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bertindak menahan suspek berusia 46 tahun di kawasan Pandan Indah pada pukul 4.45 petang hari yang sama.
“Polis turut merampas satu batang pemegang gitar berwarna hitam yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
“Ujian air kencing ke atas suspek didapati negatif dan semakan mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.
Tambah beliau, siasatan mendapati pertelingkahan tersebut berpunca daripada tindakan suspek yang kerap membuat bising dengan alat muzik hingga mengganggu mangsa yang tidak dapat berehat meskipun telah beberapa kali menegur.
“Suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas percakapannya dirakam pada hari sama. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang komposer yang juga gitaris sebuah kumpulan muzik ditahan polis selepas terbabit dalam insiden menyerang jiran hanya kerana perselisihan faham berkaitan pintu bilik air.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








