Wanita ugut bunuh pelanggan lepas janji temu urut palsu dibatalkan
TAWAU – Seorang wanita ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes ugut bunuh terhadap seorang lelaki warga Indonesia selepas mangsa membatalkan janji temu untuk mendapatkan khidmat urut yang disyaki palsu.
Suspek berusia 21 tahun itu diberkas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di tepi jalan Kampung Titingan, Jalan Tawau Lama, kira-kira pukul 12.25 tengah hari semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, wanita itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa berusia 41 tahun yang bekerja di Klang, Selangor.
Menurutnya, kejadian berpunca apabila mangsa mencari khidmat urut menerusi internet sebelum menghubungi seorang wanita tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp, kononnya menawarkan khidmat berkenaan di sebuah hotel di Gerik, Perak, pada Februari lalu.
“Mangsa kemudian diminta membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM100 sebelum ditetapkan lokasi pertemuan. Namun, mangsa membatalkan janji temu selepas curiga kerana wanita itu tidak muncul seperti dijanjikan.
“Tidak lama kemudian, mangsa menerima mesej ugutan daripada nombor tidak dikenali yang mendesaknya membayar ‘denda’ RM500 kononnya kerana membatalkan temu janji, malah turut mengugut untuk mencederakan dan membunuh mangsa jika enggan bayar,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Takut dengan ancaman itu, mangsa membuat pemindahan wang ke akaun yang diberikan. Namun, selepas menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis.
Champin berkata, hasil siasatan membawa kepada penahanan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti sama ada suspek terlibat dalam rangkaian sindiket yang menggunakan modus operandi sama.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran perkhidmatan mencurigakan melalui internet,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








