Pearly-Thinaah langkah bergaya di Finland
KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan–M. Thinaah mempamerkan aksi meyakinkan apabila mara ke pusingan kedua Terbuka Artik 2025 di Vantaa, Finland, sebentar tadi.
Pasangan ranking kedua dunia itu tidak berdepan masalah menewaskan gandingan Denmark, Natasja P. Anthonisen–Amalie Cecilie Kudsk, 21-13, 21-13 dalam tempoh hanya 32 minit di Arena Energia.
Kemenangan tersebut menyaksikan Pearly-Thinaah memulakan kempen kali ini dengan langkah kanan, sekali gus mengekalkan momentum positif selepas beberapa siri kejohanan antarabangsa sebelum ini.
Pasangan itu dijadual menentang wakil Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma–Meilysa Trias Puspitasari, esok bagi perebutan tempat ke suku akhir.
Pertembungan itu dijangka menjadi ujian getir memandangkan kedua-dua beregu belum pernah berentap sebelum ini, selain rekod cemerlang dimiliki kedua-dua pihak.
Sebagai rekod, Pearly-Thinaah merupakan naib juara edisi lalu selepas tewas kepada beregu China, Liu Sheng Shu–Tan Ning, di pentas final.
Dengan prestasi semasa yang konsisten, Pearly-Thinaah dijangka mampu melangkah lebih jauh kali ini sekali gus membawa pulang kejuaraan yang terlepas pada tahun sebelumnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








