PKR sokong langkah boikot terhadap Israel
KOTA KINABALU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong penuh perlaksanaan dasar Boikot, Pelupusan dan Sekatan (BDS) terhadap rejim Israel sebagai usaha berterusan menyokong perjuangan rakyat Palestin menuntut keadilan dan kebebasan.
Ketua Biro Hubungan Antarabangsa PKR, Dr Maszlee Malik berkata, langkah itu menunjukkan komitmen parti dalam mendukung solidariti terhadap rakyat Palestin serta mendesak supaya kerajaan Malaysia memainkan peranan lebih tegas dalam menentang kezaliman rejim Zionis.
Menurutnya, keputusan itu dicapai melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di Kota Kinabalu pada 9 November lalu yang meluluskan usul menyokong pelaksanaan dasar BDS.
“Dasar ini bukan sesuatu yang baharu. Strategi BDS pernah digunakan secara berkesan pada era 1980-an dan 1990-an untuk menamatkan dasar aparteid di Afrika Selatan.
“Pendekatan yang sama boleh digunakan untuk memberi tekanan terhadap rejim Israel yang terus menindas rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Maszlee berkata, MPP turut memutuskan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi meneliti pelaksanaan dasar berkenaan dan mencadangkan langkah-langkah BDS yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia sama ada secara bersendirian atau bersama negara lain.
Beliau berkata, jawatankuasa tersebut akan membentangkan cadangan kepada MPP sebelum dibawa ke peringkat Gabungan Pakatan Harapan dan gabungan lain dalam Kerajaan MADANI, sebelum dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan dan pelaksanaan rasmi.
“PKR komited untuk memastikan usaha ini tidak hanya berhenti pada peringkat resolusi, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan konkrit bagi memastikan Malaysia kekal teguh bersama perjuangan rakyat Palestin,” katanya lagi.
Dr Maszlee turut berkata, dasar BDS merupakan pendekatan diplomatik dan ekonomi yang berkesan dalam menentang penindasan serta mengembalikan hak rakyat Palestin yang dirampas sejak sekian lama.
“Perjuangan rakyat Palestin bukan semata-mata isu agama, tetapi isu kemanusiaan sejagat yang menuntut keberanian dan keadilan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








