Calon Timbalan Presiden PKR: Nurul Izzah sedia beri nafas baharu kepimpinan
KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, memberi bayangan bersedia untuk mempertimbangkan hasrat akar umbi yang mahu beliau bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden parti itu.
Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, beliau berkata PKR sedang berada dalam fasa penting yang memerlukan kepimpinan bersifat inklusif, progresif dan mampu membawa perubahan bermakna.
“Setulusnya, saya menghormati dan menghargai pandangan akar umbi untuk saya bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PKR,” ujar Nurul Izzah.
Beliau menegaskan bahawa sebarang keputusan yang bakal diambil harus mempertimbangkan bukan sahaja keperluan untuk menyatukan dan memperkukuh hubungan sesama sahabat seperjuangan, malah membawa nafas baharu yang mampu memastikan PKR terus diyakini rakyat Malaysia.
“Saya akan memberi keputusan terbaik dengan mengimbangi kesepakatan, jalinan persahabatan, serta perubahan dan reformasi bermakna buat semua anggota PKR,” tambahnya.
Izzah turut menekankan bahawa pendirian beliau bukan berasaskan kepentingan individu, tetapi demi masa depan parti yang harus dibina bersama seluruh anggota.
“Kita beri kata putus bukan untuk mana-mana individu, tetapi demi usaha membina masa depan secara bersama di kala suka dan duka. Insya-Allah,” katanya.
Penglibatan semula Nurul Izzah dalam gelanggang politik secara aktif selepas beberapa tahun menyepi dijangka memberi impak besar terhadap landskap dalaman parti, khususnya menjelang pemilihan parti yang dijadualkan dalam masa terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








