Cubaan pujuk anak terjun bukit berakhir tragedi, tiga sekeluarga maut
MAHARASHTRA – Tiga sekeluarga maut selepas cubaan hampir tiga jam memujuk lelaki berusia 18 tahun supaya menjauhi tebing bukit berakhir tragedi apabila dia terjatuh ketika bapanya cuba menyelamatkannya, sebelum ibunya turut terjatuh.
Menurut laporan NDTV, kejadian berlaku di Bukit Khavda, daerah Chhatrapati Sambhajinagar, Maharashtra, India semalam.
Lelaki yang menetap di kawasan Devlai itu dikatakan pergi ke tebing bukit kira-kira pukul 10 pagi sebelum mengugut untuk terjun dan membunuh diri.
Penduduk kampung dan ibunya kemudian menghabiskan hampir tiga jam memujuk lelaki terbabit supaya mengubah keputusan, termasuk mengingatkannya mengenai masa depan serta ibu bapanya.
Bagaimanapun, usaha itu tidak berhasil apabila lelaki berkenaan terus berkeras dengan niatnya.
Kejadian itu turut dirakam beberapa pelancong dan penduduk tempatan yang berada di lokasi.
Bapa lelaki berkenaan yang pada awalnya cuba memujuk dari bawah bukit kemudian mendaki ke atas dalam tempoh 15 hingga 20 minit terakhir.
Ketika anaknya terus berada berhampiran tebing, bapa terbabit cuba bercakap dengannya dan memujuknya supaya berundur dari kawasan itu.
Pada kira-kira pukul 1 petang, bapa mangsa cuba mencapai anaknya, namun kedua-duanya hilang imbangan sebelum terjatuh dari bukit.
Beberapa ketika kemudian, ibu mangsa yang panik turut terjatuh dari bukit berkenaan.
Ketiga-tiga ahli keluarga itu maut dalam kejadian terbabit.
Pegawai polis yang berada di lokasi turut berusaha memujuk lelaki berkenaan supaya menjauhi tebing, namun usaha itu juga gagal.
Saksi kejadian, Sanjay Jadhav, berkata ibu bapa mangsa dan orang ramai sudah berulang kali cuba memujuk lelaki terbabit.
“Ibu bapa dan orang lain sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk memujuknya, tetapi dia tidak mendengar dan terus berdiri di tepi bukit. Pegawai polis juga berada di situ,” katanya.
Menurutnya, ibu mangsa turut berulang kali merayu supaya anaknya tidak terjun.
“Ibu mangsa terus merayu supaya dia tidak terjun,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







