BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Wanita warga China maut terjatuh dari balkoni KLIA Terminal 2

PUTRAJAYA : Seorang wanita warga China maut selepas terjatuh dari kawasan luar balkoni Aras 3 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2, semalam.

Ketua Polis Daerah KLIA, M Ravi, berkata kejadian berlaku pada jam 2.20 petang apabila wanita berusia 27 tahun itu dilihat duduk di bahagian luar balkoni dalam keadaan menangis serta menjerit secara agresif.

Menurut beliau, petugas dan pegawai keselamatan cuba menenangkan mangsa, namun usaha itu tidak berjaya.

“Seorang anggota keselamatan KLIA kemudian cuba mendekatinya untuk memberi bantuan dan menyelamatkan mangsa.

“Bagaimanapun, wanita terbabit bertindak meronta sebelum terjun ke kawasan Loading Bay KLIA2,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian segera memberikan rawatan kecemasan sebelum mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Namun, kira-kira jam 5 petang, pihak hospital mengesahkan wanita berkenaan meninggal dunia.

Hasil semakan mendapati mangsa adalah warganegara China berusia 27 tahun dan dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke negara itu pada 2 Mei.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut prosedur kematian mengejut.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 40 saat memaparkan seorang wanita berada di tempat tinggi di kawasan KLIA Terminal 2 sebelum terjatuh.

Dalam perkembangan berasingan, satu lagi rakaman video turut tular memaparkan seorang lelaki ditemui tertiarap di kawasan rumput di lapangan terbang sama malam tadi.

Ravi yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes berkenaan masih dalam tindakan polis dan status mangsa masih belum dapat dipastikan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button