Lelaki tendang pemandu warga emas selepas kemalangan kecil dicekup
KAJANG – Tindakan seorang peniaga bertindak agresif menendang dan memukul seorang warga emas susulan kemalangan kecil di lampu isyarat Pekan Suntex, Batu 9 Cheras, membawa padah apabila dia diberkas polis, malam tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 4.49 petang semalam membabitkan mangsa berusia 69 tahun.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Nazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa dipukul serta diugut oleh suspek di lokasi kejadian selepas kedua-dua kenderaan mereka terlibat dalam pelanggaran kecil.
Menurut beliau, suspek berusia 52 tahun berjaya ditahan pada pukul 11.30 malam di sekitar Kajang sebelum direman selama dua hari bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
“Turut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Sarjan Ganesan Ramachandran di talian 012-6089180 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Nazron menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak di luar kawalan dan sentiasa mematuhi undang-undang demi menjaga ketenteraman awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















