MBMB nafi dakwaan penyelewengan projek penyelenggaraan Jejantas Tun Teja
MELAKA – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan wujud unsur penyelewengan atau ketidaktelusan dalam proses pemilihan syarikat bagi melaksanakan Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembersihan Bersepadu Jejantas Tun Teja.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, proses perolehan projek berkenaan dilaksanakan menerusi tender terbuka melalui Urusetia Perolehan, Jabatan Kewangan MBMB.
Menurutnya, iklan tender dimuat naik dalam Sistem Tender Online Melaka (STOM) dan dibuka kepada semua kontraktor yang berkelayakan selama 21 hari, bermula 14 Mei hingga 3 Jun 2026.
“Selain itu, MBMB turut mempelawa 19 kontraktor untuk menyertai tender berkenaan.
“Hasil daripada proses perolehan tersebut, hanya satu penender mengemukakan tawaran mengikut syarat yang ditetapkan,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Lembaga Perolehan MBMB pada lalu kemudian bersetuju memilih ACS Engineering & Services bagi melaksanakan projek berkenaan untuk tempoh tiga tahun, bermula 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2029.
Menurutnya, nilai kontrak RM2.075 juta adalah harga siling yang ditetapkan bagi setiap kerja berkaitan.
“Pembayaran hanya akan dibuat berdasarkan kerja yang dilaksanakan dan mana-mana keperluan atau peralatan yang tidak diganti tidak akan dibayar kepada pihak syarikat,” katanya.
Pada masa sama katanya, pemilihan syarikat itu dibuat secara telus, teratur dan berintegriti mengikut tatacara perolehan yang ditetapkan di bawah Arahan Perbendaharaan serta pekeliling kerajaan yang berkuat kuasa.
“Skop perkhidmatan berkenaan merangkumi penyelenggaraan elektrik termasuk sistem pencahayaan, panel DB dan sistem perlindungan kilat, selain penyelenggaraan mekanikal membabitkan sistem penyaman udara serta pengudaraan mekanikal (ACMV).
“Ia turut meliputi kerja awam, struktur dan seni bina termasuk struktur keluli dan konkrit, laluan pejalan kaki, railing dan balustrade, tangga, ramp serta papan tanda.
“Selain itu, skop pembersihan merangkumi pembersihan fasad kawasan aras rendah dan tinggi yang memerlukan sistem akses tali atau peralatan kerja di tempat tinggi, termasuk pembersihan sistem saliran serta paip air hujan (RWDP). Perkhidmatan itu turut merangkumi sistem pemantauan dan pengurusan.
“Sehubungan itu, MBMB menafikan sekeras-kerasnya sebarang dakwaan wujudnya unsur penyelewengan atau ketidaktelusan dalam proses pemilihan syarikat ini.
“MBMB kesal dengan penyebaran isu tular tersebut yang sengaja menimbulkan rasa tidak puas hati dan mengelirukan orang ramai terhadap MBMB,” menurutnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


