BERITA SEMASASUKAN

Lazaro ungguli International Endurance Festival Melaka 2025

MELAKA – Usia bukan penghalang buat atlet Sepanyol, Gabriel Lazaro apabila berjaya menewaskan peserta lebih muda untuk menjuarai disiplin triatlon jarak Olimpik pada International Endurance Festival Melaka 2025 yang berlangsung di Encore Melaka, Klebang, semalam.

Berusia 50 tahun, Lazaro yang bekerja sebagai eksekutif agensi insurans di Singapura menamatkan perlumbaan melibatkan renangan sejauh 1.5 kilometer (km), berbasikal 40km dan larian 10km dalam masa 2 jam 22 minit 47 saat.

Beliau mengetepikan cabaran peserta tempatan, Faiz Rahim dari Selangor yang merekodkan masa 2:26:52s, manakala tempat ketiga milik Goh Guan Xi dengan catatan 2:29:56s.

“Ini penyertaan pertama saya di Melaka dan lebih bermakna kerana menang di hadapan isteri serta dua anak lelaki saya. Ia detik yang cukup istimewa,” kata Lazaro.

Beliau sudah lebih 20 tahun menceburi acara multisukan dan pernah menjuarai triatlon di Miami serta New York ketika bekerja di Amerika Syarikat.

Mengulas laluan perlumbaan, beliau memuji suasana dan penganjuran di Melaka.

“Laluan di sini sangat cantik dan teratur, malah semua orang peramah. Saya juga suka bandar Melaka. Kami sempat bersiar-siar beberapa hari sebelum perlumbaan,” katanya lagi.

Lazaro kini menumpukan persiapan menghadapi Ironman 70.3 World Championships di Marbella, Sepanyol pada 9 November ini yang bakal menjadi penampilan sulungnya di pentas dunia.

“Saya akan berlatih 10 hingga 12 jam seminggu khusus untuk acara itu. Impian terbesar saya adalah menyertai Ironman World Championships di Kona, Hawaii tahun depan,” ujarnya.

Sementara itu, Faiz, 30, dari Gombak berpuas hati dengan prestasi terkininya selepas kembali semula ke arena triatlon tahun ini.

Melaka International Indurance 2025
Peserta tempatan, Faiz teruja menamatkan saingan di tempat kedua.

“Sebelum Covid-19 saya pernah sertai triatlon dan duatlon, tetapi berhenti kerana tiada keputusan baik.

“Antara tahun 2020 hingga 2024, saya beralih ke perlumbaan basikal jalan raya dan sempat sertai Tour of Terengganu,” jelasnya.

Katanya, penajaan baharu mendorongnya kembali ke acara multisukan sebagai atlet sepenuh masa.

“Tahun ini saya sudah raih beberapa podium, tapi kali ini prestasi lebih baik berbanding sebelum ini. Sasaran saya adalah Ironman Langkawi pada November nanti,” kata Faiz yang turut mengakui perlu menggaji jurulatih renang untuk memperbaiki tekniknya.

Bagi kategori wanita, Nami Kanai muncul juara dengan catatan 2:49:51s, diikuti Adel Zulin Sim (3:13:38s) dan Norazian Manaf (3:23:33s).

Festival tahun ini mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya ketiga-tiga disiplin iaitu triatlon, duatlon dan aquatlon dianjurkan serentak dalam acara dua hari yang menghimpunkan lebih 1,000 peserta serta kira-kira 1,500 penyokong.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman yang menyempurnakan acara pelepasan peserta mengucapkan tahniah kepada penganjur Hype Haus atas kejayaan acara itu.

“Seronok melihat ramai peserta antarabangsa dan dari luar Melaka menyertai perlumbaan ini kerana ia secara tidak langsung mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan.

“Penganjuran kali ini berjalan lancar dan kami sedia memberi sokongan pada masa hadapan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button