LUAR NEGARA

Rusia beri amaran nuklear kepada NATO berhubung wilayah Kaliningrad

MOSCOW – Russia memberi amaran akan menggunakan seluruh kekuatan tenteranya termasuk senjata nuklear sekiranya NATO cuba mengasingkan wilayah Kaliningrad daripada negara itu.

Amaran itu terkandung dalam nota diplomatik yang dihantar Moscow kepada NATO ketika ketegangan antara Russia dan pakatan Barat semakin meningkat di rantau Baltik.

Dalam dokumen berkenaan, Russia menuduh NATO mengambil pendekatan yang dilihat bahaya dan melulu malah berisiko mencetuskan konflik bersenjata secara langsung antara kedua-dua pihak.

Moscow turut memberi amaran bahawa sebarang usaha untuk mengasingkan Kaliningrad akan dianggap sebagai ancaman terhadap wilayahnya, sekali gus membuka kemungkinan penggunaan seluruh keupayaan ketenteraan Russia, termasuk senjata nuklear.

“Russia akan bersedia menggunakan keseluruhan kekuatan dan keupayaan yang dimilikinya, termasuk senjata nuklear, bagi mempertahankan wilayahnya sekiranya negara-negara NATO melakukan sebarang percubaan untuk mengasingkan Wilayah Kaliningrad daripada bahagian lain negara itu,” menurut nota berkenaan.

Dokumen itu juga memberi amaran mengenai kemungkinan serangan terhadap pusat pembuat keputusan di negara anggota NATO sekiranya berlaku konflik secara langsung.

kaliningrad
Peta kedudukan wilayah Kaliningrad.

Kaliningrad merupakan wilayah eksklaf Russia di pesisir Laut Baltik yang terletak di antara Poland dan Lithuania, kedua-duanya negara anggota NATO.

Kedudukannya yang terpisah daripada wilayah utama Russia menjadikan kawasan itu antara titik sensitif dalam hubungan Moscow dengan pakatan Barat.

Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte berkata, pakatan itu sudah membalas nota berkenaan dengan menegaskan bahawa NATO merupakan pakatan pertahanan dan meminta Moscow menghentikan ancaman berkaitan senjata nuklear.

“Kami ialah pakatan pertahanan. Hentikan ancaman nuklear. Ini sama sekali tidak wajar dan tidak membantu,” katanya.

NATO turut menegaskan tiada latihan atau aktiviti yang dijalankannya bertujuan mengancam wilayah Persekutuan Russia, selain menggesa Moscow menghentikan perang di Ukraine serta retorik nuklear yang disifatkan tidak bertanggungjawab.

Rutte sebelum ini berkata NATO tidak melihat ancaman segera terhadap wilayahnya daripada Russia, namun mengakui pakatan itu perlu memberi respons terhadap amaran Moscow bagi mengelakkan salah perhitungan yang boleh meningkatkan ketegangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button