SUKAN

FAM tuntut penjelasan rasmi FIFA isu masa tambahan Indonesia-Bangladesh

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi mendapatkan penjelasan berhubung perubahan tempoh masa tambahan ketika perlawanan Indonesia menentang Bangladesh dalam aksi Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi.

Dalam kenyataan hari ini, FAM berkata pihaknya memandang serius perkara berkenaan selepas tempoh masa tambahan yang pada awalnya ditunjukkan selama dua minit kemudian berubah kepada tujuh minit.

Menurut FAM, permohonan itu bertujuan mendapatkan penjelasan mengenai asas, prosedur dan keadaan yang membawa kepada perubahan tempoh masa tambahan berkenaan.

“FAM ingin menegaskan bahawa pengurusan masa perlawanan merupakan aspek penting dalam memastikan setiap perlawanan berlangsung secara adil, telus dan selaras dengan peraturan pertandingan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

FAM berkata, perkara berkenaan wajar diberikan perhatian memandangkan perlawanan terbabit membabitkan persaingan menentukan kedudukan akhir Kumpulan A, sekali gus memberi kesan kepada penentuan pasukan yang layak ke final.

Sehubungan itu, FAM menggesa FIFA meneliti insiden berkenaan dan memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan yang dibuat pegawai perlawanan, termasuk sama ada perubahan tempoh masa tambahan itu dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa.

Pada masa sama, FAM menegaskan permohonan tersebut bukan bertujuan mempersoalkan keputusan perlawanan atau mempertikaikan pencapaian mana-mana pasukan.

Sebaliknya, badan induk bola sepak negara itu mahu mendapatkan penjelasan rasmi berhubung proses dan prosedur pengadilan bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button