Wanita warga emas rebah selepas celup dakwat di jari
TAMPIN – Seorang wanita warga emas tidak sedarkan diri selepas mencelup dakwat pada jari ketika mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Rokan, Gemencheh, di sini, sebelum disahkan meninggal dunia, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, kira-kira jam lebih 11 pagi tadi, polis menerima maklumat daripada Pembantu Kesihatan di Klinik Kesihatan (KK) Gemencheh memaklumkan seorang wanita disahkan meninggal dunia di klinik itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa yang berusia 83 tahun itu sempat dirawat namun paras oksigen didapati semakin menurun.
“Siasatan awal mendapati wanita hadir ke SK Rokan untuk mengundi bersama ahli keluarga. Ketika berada di saluran satu dan sebaik mencelup jari dalam dakwat, wanita itu tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, wanita itu kemudiannya dibawa oleh ahli keluarga ke KK Gemencheh.
“Ketika itu, dia masih sedarkan diri namun paras oksigen semakin menurun. Bantuan bantuan pernafasan (CPR) dilakukan Pembantu Pegawai Perubatan diberikan, namun tidak berjaya untuk diselamatkan.
“Sebelum kejadian, wanita yang berumur 83 tahun itu dikatakan mengadu kepada keluarga bahawa mengalami sakit pada bahagian kaki sejak pulang daripada mengerjakan umrah.
“Ketika sampai di tempat mengundi, si mati dikatakan berjalan kaki dari kereta ke saluran satu. Terdapat rekod perubatan bahawa wanita ini adalah pesakit darah tinggi,” katanya.
Anuwal berkata, kematian disahkan pegawai perubatan bertugas sebelum mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







