PRN Johor, Negeri Sembilan: SPR buat keputusan tarikh utama hari ini
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengadakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh-tarikh penting serta membincangkan persiapan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Mesyuarat yang berlangsung di Menara SPR itu dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dan dijadual bermula pada pukul 10 pagi sebelum sidang media diadakan sejurus selepas selesai mesyuarat, memetik laporan Bernama.
Tumpuan kini terarah kepada pengumuman rasmi SPR berhubung tarikh penting kedua-dua PRN termasuk tarikh pengeluaran writ pilihan raya, hari penamaan calon, tarikh pengundian awal serta hari pengundian.
Selain itu, SPR turut dijangka mengumumkan tempoh berkempen dan memperincikan persediaan serta mekanisme pelaksanaan pilihan raya di kedua-dua negeri berkenaan.
Pada 1 Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 kerusi selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Sementara itu, pada 4 Jun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan pada keesokan harinya selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















