POLITIK

Ekonomi semakin kukuh mampu beri kelebihan kepada PH di Melaka

ALOR GAJAH – Prestasi ekonomi negara yang semakin baik serta kestabilan politik berpotensi memperkukuh kedudukan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan berkata, pencapaian Kerajaan MADANI sepanjang hampir empat tahun mentadbir negara perlu disampaikan dengan jelas kepada pengundi sepanjang tempoh kempen.

Menurut Menteri Sumber Manusia itu, pengukuhan nilai ringgit dan kemasukan pelaburan asing antara perkembangan ekonomi yang perlu diketengahkan bagi memberi gambaran mengenai prestasi kerajaan.

“Calon PH perlu turun padang dan bertemu pengundi secara bersemuka bagi menerangkan pencapaian, inisiatif serta perancangan kerajaan untuk masa depan.

“Penerangan mengenai dasar dan program kerajaan perlu sampai ke peringkat akar umbi supaya masyarakat mengetahui pelbagai usaha yang sudah dilaksanakan.

Related Articles

“Tanpa komunikasi yang berkesan, pengundi mungkin tidak mengetahui langkah dan inisiatif yang telah diperkenalkan kerajaan,” katanya ketika ditemui media di pusat penamaan calon Machap Jaya, Bukit Bulat, hari ini.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin mempunyai pengalaman politik serta dikenali dalam kalangan pengundi di Melaka.

Menurutnya, Ginie pernah memenangi kerusi berkenaan dan berkhidmat sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Melaka yang bertanggungjawab terhadap portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Hal Ehwal Orang Asli.

“Pengalaman serta rekod perkhidmatan Ginie sebelum ini mampu membantunya mendekati masyarakat setempat,” katanya.

Bagaimanapun, Fadhlina mengakui calon PH itu berdepan saingan sengit daripada penyandang kerusi berkenaan, Datuk Ngwe Hee Sem daripada Barisan Nasional (BN-MCA).

Beliau menyifatkan pertandingan itu sebagai persaingan seimbang dengan kedua-dua pihak mempunyai rekod serta pengalaman masing-masing dalam perkhidmatan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Fadhlina menyambut baik keputusan PKR meletakkan tiga calon wanita pada PRN Melaka kali ini.

Kerusi DUN Machap Jaya menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Ginie, Ngwe Hee Sem dan B. Prasanth Kumar daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).

Ramanan dan Fadhlina antara pemimpin PKR yang mengiringi Ginie ke pusat penamaan calon berkenaan bersama Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr Maszlee Malik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button