BERITA SEMASA

Tok Mat berang dihalang masuk pusat penamaan calon

ALOR GAJAH – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berang selepas dihalang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada memasuki Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, hari ini.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat hadir bagi mengiringi calon BN, Datuk Abu Hakim Abdul Wahid yang bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimanapun, kehadirannya tidak dibenarkan oleh petugas SPR sehingga mencetuskan pertikaman lidah antara beliau dengan pegawai terbabit.

Menurut seorang saksi yang enggan dikenali, Mohamad mempersoalkan tindakan berkenaan kerana mendakwa memiliki pas yang dikeluarkan SPR.

“Tok Mat mempersoalkan kenapa beliau tidak dibenarkan masuk sedangkan beliau mempunyai pas SPR.

“Beliau turut bertanya, apa gunanya pas tersebut jika beliau tetap tidak dibenarkan memasuki PPC,” memetik Utusan Online.

Saksi itu berkata, petugas SPR kemudian menjelaskan kehadiran Mohamad dianggap melebihi kuota individu yang dibenarkan memasuki pusat berkenaan bersama calon.

Menurut penjelasan petugas itu, hanya calon, pencadang dan penyokong dibenarkan memasuki pusat penamaan calon mengikut ketetapan proses berkenaan.

Situasi itu menyebabkan pertikaman lidah berlaku seketika sebelum Timbalan Presiden UMNO itu mengambil keputusan meninggalkan lokasi berkenaan.

Kejadian berkenaan menarik perhatian petugas parti serta orang ramai yang berada di sekitar Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, namun keadaan kembali terkawal selepas Mohamad beredar.

Dalam pertandingan di DUN Lendu, Abu Hakim akan berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Nazri Ramli.

SPR masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan kejadian itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button