SPR terima notis pembubaran DUN Johor, Mesyuarat Khas PRN diadakan pada 12 Jun
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) secara rasmi telah menerima notis pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Menurut Setiausaha SPR, Khairul Shahril Idrus, notis itu diterima daripada Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang berkuat kuasa pada 2 Jun lalu.
Katanya, pembubaran tersebut adalah selaras dengan Fasal 23(2) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
“Berdasarkan Fasal 23(4) Bahagian Kedua undang-undang yang sama, satu pilihan raya umum negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN berkenaan.
“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan urusan berkaitan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRN) Johor Ke-16 pada 12 Jun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Ramlan Harun dan dijangka membincangkan beberapa perkara penting termasuk tarikh pengeluaran Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar.
Katanya, satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas berkenaan bagi mengumumkan keputusan serta tarikh-tarikh penting berkaitan PRN Johor Ke-16.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








