Jangan jadikan Johor medan eksperimen politik – Mahfuz Omar bidas Hadi Awang
JOHOR BAHRU – Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar membidas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai kesediaan parti itu untuk memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) sekiranya diperlukan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau menegaskan negeri itu tidak wajar dijadikan medan eksperimen politik yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran serta kebajikan rakyat.
Menurut Mahfuz, tawaran tersebut turut menimbulkan persoalan mengenai jaminan kestabilan kerjasama politik memandangkan PAS sebelum ini beberapa kali mengubah pendirian dan gabungan politik, termasuk bersama Pakatan Rakyat, Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.
“Perubahan gabungan politik yang berulang kali menimbulkan kebimbangan rakyat terhadap kestabilan kerajaan yang bakal dibentuk selepas pilihan raya.
“Kerajaan bukan khemah pasar malam. Hari ini pasang dengan seseorang, esok buka dan pasang dengan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Mahfuz menegaskan Johor memerlukan sebuah kerajaan yang mampu mentadbir sepanjang tempoh lima tahun tanpa dibelenggu percaturan politik yang berterusan.
Menurutnya, kestabilan politik penting bagi memastikan keyakinan pelabur terus kukuh, memberi kepastian kepada peniaga serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.
Beliau turut mendakwa setiap kali berlaku perubahan politik, alasan berkaitan kepentingan agama dan orang Melayu sering diketengahkan, namun yang berubah hanyalah gabungan politik, bukannya nasib rakyat.
Sehubungan itu, Mahfuz menyeru rakyat Johor supaya memilih kerajaan yang mempunyai hala tuju jelas dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kebajikan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















