POLITIK

Lapan tahun di lapangan, Lee Wern Yiing sedia pikul amanah

JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Johor Jaya, Lee Wern Yiing, yakin pengalaman lapan tahun terlibat dalam kerja akar umbi telah mempersiapkan dirinya menghadapi persaingan pilihan raya.

Beliau yang membuat penampilan sulung pada PRN kali ini berkata, penglibatannya bersama bekas ADUN tiga penggal, Liow Cai Tung, memberikannya pengalaman secara langsung dalam berkhidmat kepada penduduk serta menangani isu setempat.

Wanita berusia 30 tahun itu turut berkata, beliau banyak bekerjasama dengan Cai Tung termasuk ketika berkhidmat sebagai anggota exco.

“Ke mana sahaja Cai Tung pergi, saya ikut. Kami sudah bekerja bersama di Johor Jaya sejak 2018, jadi kami amat mengenali kawasan ini dan dekat dengan penduduk,” katanya kepada FMT.

Wern Yiing yang memiliki latar belakang pengajian sains politik turut berkongsi mengenai penglibatannya dalam politik.

Katanya, minat untuk menjadi ahli politik tercetus selepas menjalani latihan industri di pejabat Liew Chin Tong pada 2014, ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kluang.

“Saya terlibat secara aktif dalam politik sejak 2018,” katanya.

Sekiranya diberi mandat, Wern Yiing berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan janji pilihan raya serta meneruskan penyediaan perkhidmatan asas kepada penduduk.

Antara keutamaannya ialah menambah baik sistem pengangkutan awam dengan menggesa terminal bas Johor Jaya di Jalan Dedap dinaik taraf menjadi hab pengangkutan bagi melengkapi projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link, sistem Automated Rapid Transit (ART) dan perkhidmatan Shuttle Selatan

Jelas beliau, Cai Tung sebelum ini telah beberapa kali membangkitkan keperluan menaik taraf terminal berkenaan termasuk pasar awam dan arked bersebelahan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Namun sehingga hari ini, masih belum ada rancangan jelas untuk kerja naik taraf berkenaan,” katanya lagi.

Wern Yiing akan berdepan saingan empat penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Chan San San; calon BERSAMA, Lau Yi Leong, serta calon bebas, Lim Hun Peaw.

Mengulas persaingan pada PRN kali ini, Lee mengakui sedikit berdebar menjelang hari pengundian.

“Saya berharap orang ramai keluar mengundi,” katanya.

Johor Jaya merupakan kerusi campuran dengan pengundi bukan Melayu membentuk hampir 60 peratus daripada keseluruhan pengundi dengan komuniti Cina merupakan kumpulan terbesar dengan 45.5 peratus.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button