Cederakan junior, pelajar tahfiz diperintah jalani khidmat masyarakat 90 jam
BATU PAHAT – Seorang pelajar lelaki sebuah pusat tahfiz di sini, diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 90 jam dalam tempoh enam bulan selepas mengaku bersalah mencederakan juniornya sehingga patah pergelangan tangan kiri, Jun lalu.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, terhadap pelajar berusia 15 tahun berkenaan selepas mengambil kira pengakuan bersalah, rayuan tertuduh serta syor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Selain khidmat masyarakat, mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM1,000 selama tiga tahun berserta beberapa syarat, termasuk sekatan pergerakan antara jam 9 malam hingga 6 pagi.
Mahkamah turut mengarahkan pelajar terbabit melapor diri di JKM setiap dua bulan sepanjang tempoh bon berkenaan serta menjalani sesi kaunseling bersama gurunya, lapor Metro Online.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa berusia 14 tahun di sebuah surau tahfiz di Ayer Hitam, dekat sini, kira-kira pukul 1 tengah hari pada 30 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang ditugaskan melaungkan azan sebelum itu diejek tertuduh yang mendakwa laungan azannya tidak merdu.
Mangsa kemudian marah dan menampar muka tertuduh sebelum tertuduh membalas perbuatan itu, menyebabkan berlaku aksi tolak-menolak antara mereka.
Dalam kejadian itu, tertuduh kemudian menolak mangsa sehingga terjatuh dan menyebabkan pergelangan tangan kirinya patah.
Susulan kejadian, mangsa ditemani ahli keluarga membuat laporan di Balai Polis Ayer Hitam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shazleen Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam, Zurina Sidek.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








