BERITA SEMASA

POLIMAS, komuniti bekerjasama ceriakan tanah perkuburan Masjid Al-Muttaqin

JITRA – Seramai 154 peserta menyertai Program Khidmat Masyarakat di Tanah Perkuburan Masjid Al-Muttaqin, Taman Mahsuri, di sini dalam usaha memelihara kebersihan, menceriakan persekitaran serta meningkatkan aspek keselamatan kawasan perkuburan berkenaan.

Program itu merupakan anjuran Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE), Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) dengan kerjasama Persatuan Khairat Kematian Masjid Al-Muttaqin.

Ia menghimpunkan 74 kakitangan JKE POLIMAS, 30 ahli jawatankuasa persatuan khairat dan komuniti setempat serta 50 pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik (DET) Semester 1 dan Semester 4.

polimas
Melalui aktiviti ini, para peserta dapat mengeratkan hubungan antara POLIMAS dan komuniti setempat.

Ketua Jabatan JKE POLIMAS, Sofwan Ramli berkata, program itu bukan sekadar aktiviti khidmat masyarakat, sebaliknya menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman kepada pelajar.

Menurutnya, penglibatan dalam program tersebut memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah yang dipelajari di POLIMAS dalam situasi sebenar.

“Melalui aktiviti seperti ini, pelajar dapat membina kompetensi penting seperti kerja berpasukan, kepimpinan dan komunikasi berkesan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

“Ia juga selaras dengan aspirasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dan berdaya saing, malah memiliki semangat kemasyarakatan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, seorang pelajar, Umar Mukhtar Mohd Shukri berkata, program berkenaan membuka ruang kepada pelajar untuk lebih memahami kepentingan menyumbang kepada masyarakat.

polimas
Para peserta membersihkan kawasan pusara.

“Aktiviti gotong-royong bukan sahaja mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat, malah memupuk nilai tanggungjawab dan empati terhadap keperluan masyarakat,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar, Muhammad Haziq Fadzil berkata, pengalaman memasang lampu solar di kawasan perkuburan memberi kepuasan kerana dapat memanfaatkan kemahiran teknikal yang dipelajari demi keselamatan orang ramai.

Program itu turut mendapat sokongan sektor korporat menerusi sumbangan lampu solar daripada Nurkamal Network Sdn. Bhd. dan Leader Energy Resources, Bandar Darulaman di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

polimas
Aktiviti mengecat pagar kawasan perkuburan oleh para peserta terlibat.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah menebas semak samun, membersihkan kawasan, menebang pokok berisiko, mengecat tembok, membaja pokok di kawasan pusara serta memasang lampu solar bagi meningkatkan pencahayaan di tanah perkuburan.

Program berkenaan turut diserikan dengan Majlis Bacaan Tahlil dan Doa yang dipimpin Imam dan Pengerusi Masjid Al-Muttaqin, Syeikh Kadri Abd Hamid Al Hafiz sebelum beliau menyempurnakan majlis penutupan.

Pada majlis sama, JKE POLIMAS turut menyampaikan cenderahati penghargaan dan sumbangan wang tunai kepada pihak Masjid Al-Muttaqin sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang diberikan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button