BERITA SEMASA

Mahasiswa UIAM bantu 34 murid SK Selandar kuasai literasi asas

JASIN – Seramai 34 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Selandar, di sini mendapat manfaat daripada program khidmat masyarakat anjuran 22 mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh bagi meningkatkan penguasaan literasi asas.

Bertemakan Menyulam Aksara, Membina Masa Depan, program itu memberi tumpuan kepada murid kelas pemulihan dan komuniti Orang Asli menerusi pendekatan pembelajaran kreatif serta interaktif bagi meningkatkan kemahiran membaca, menulis, mendengar dan bertutur.

Program berkenaan dianjurkan menerusi kursus SCSH 3164: Usrah in Action 2 UIAM Kampus Pagoh di bawah bimbingan Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Dr Nurul Jamilah Rosly.

Menurut beliau, menerusi program itu, murid dibahagikan kepada tujuh kumpulan untuk menyertai aktiviti pembelajaran berasaskan permainan dan kembara berhalangan yang merangkumi tugasan literasi di beberapa stesen.

“Aktiviti yang diadakan merangkumi latihan mengenal huruf, mengeja dan menyusun perkataan, selain menggalakkan murid berfikir secara kritis, bekerjasama serta membina keyakinan diri ketika berkomunikasi.

sk selandar
Murid-murid menjawab soalan oleh fasilitator di stesen kemahiran mendengar.

“Pendekatan belajar sambil bermain sedemikian turut dirangka bagi menarik minat murid terhadap pembelajaran, khususnya mereka yang memerlukan sokongan tambahan untuk menguasai kemahiran asas bahasa Melayu,” katanya.

Tambah beliau, sebagai kesinambungan usaha itu, mahasiswa UIAM Kampus Pagoh turut menghasilkan Modul Asas Literasi Bahasa Melayu (MALBaM) untuk kegunaan pihak sekolah.

Modul berkenaan menghimpunkan latihan asas, panduan visual dan kaedah pengajaran praktikal yang disesuaikan dengan keperluan pembelajaran kanak-kanak, khususnya dalam penguasaan literasi peringkat awal.

Bahan itu diharapkan dapat membantu guru meneruskan usaha pemulihan kemahiran membaca, menulis, mendengar dan bertutur selepas program berakhir, sekali gus memberikan manfaat berpanjangan kepada murid.

Guru Besar SK Selandar, Mohd Nazri Ahmad berkatam pelaksanaan program itu disifatkan sebagai satu inisiatif untuk meningkatkan penguasaan literasi serta keyakinan diri murid.

“Program sebegini berpotensi membantu murid memperkukuh kemahiran komunikasi melalui aktiviti pembelajaran yang lebih menarik dan bersesuaian dengan keperluan mereka,” katanya.

Selain memberi manfaat kepada murid, program itu turut menyediakan peluang kepada mahasiswa untuk mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kemahiran insaniah melalui interaksi langsung dengan murid kelas pemulihan serta komuniti Orang Asli.

Kerjasama antara UIAM Kampus Pagoh dengan SK Selandar itu membuktikan kepentingan kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dengan sekolah dalam menyokong usaha memperkukuh pendidikan asas serta memastikan murid mendapat peluang pembelajaran yang lebih baik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button