BERITA SEMASA

SWCorp perkasa penguatkuasaan, 76 pesalah sertai perintah khidmat masyarakat

KUALA LUMPUR – Seramai 76 pesalah yang diperintahkan mahkamah di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) menyertai pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) Siri Ke-9 yang dilaksanakan secara serentak di enam negeri hari ini.

Program yang digerakkan SWCorp itu melibatkan negeri Kedah, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Perlis dalam usaha membentuk masyarakat lebih berdisiplin serta bertanggungjawab terhadap kebersihan kawasan awam.

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, kebersihan awam perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama dalam membentuk persekitaran bandar yang lebih berdisiplin, selesa dan berkualiti.

“Kebersihan awam mencerminkan disiplin serta tahap ketamadunan masyarakat. Pelaksanaan PKM membuktikan bahawa penguatkuasaan bukan sekadar hukuman, tetapi instrumen pendidikan sosial yang mampu membentuk kesedaran dan rasa tanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.

“SWCorp akan terus memperkasa penguatkuasaan dan pendidikan awam secara konsisten bagi memastikan budaya membuang sampah merata-rata tidak lagi menjadi norma dalam masyarakat,” katanya.

Sementara itu, SWCorp memaklumkan di Johor, pelaksanaan PKM dijalankan di Taman Rekreasi Jalan Sri Putri 6/3, Kulai membabitkan 18 pesalah berusia antara 21 hingga 57 tahun yang melaksanakan kerja-kerja pembersihan bermula seawal pukul 9 pagi.

Tugasan yang dijalankan melibatkan pembersihan kawasan longkang, tandas awam, siar kaki dan jalan awam sebagai bentuk pemulihan yang memberi pengalaman secara langsung kepada pesalah terhadap realiti pengurusan kebersihan awam.

“Pendekatan itu dilihat mampu memberi kesedaran mengenai kesan sikap tidak bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran selain membentuk rasa tanggungjawab sosial dan penghargaan terhadap kepentingan menjaga ruang awam secara bersama,” katanya dalam kenyataan.

Dalam memastikan kawasan tumpuan masyarakat kekal bersih dan kondusif, SWCorp turut mempergiat Operasi Penguatkuasaan Sampah Kecil secara lebih strategik, tersusun dan berfokus di lokasi hotspot yang dikenal pasti berisiko tinggi terhadap pencemaran sampah kecil.

Menurut SWCorp, pendekatan intervensi lapangan itu memberi penekanan terhadap pemantauan berkala, tindakan penguatkuasaan serta penyelenggaraan kebersihan secara konsisten bagi memastikan ruang awam sentiasa berada dalam keadaan bersih, teratur dan selesa.

“Sehingga kini, sebanyak 101 lokasi hotspot dikenal pasti di tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672 melibatkan Perlis dengan lima lokasi, Kedah (9), Wilayah Persekutuan (17), Negeri Sembilan (21), Melaka (12), Pahang (24) dan Johor (13).

“Bagi meningkatkan tahap pematuhan terhadap kebersihan awam, pemeriksaan berkala terus dilaksanakan melibatkan kawasan awam serta premis perniagaan di sekitar hotspot yang dikenal pasti,” katanya lagi.

Pada masa sama, sesi libat urus bersama peniaga dan komuniti setempat turut diperkasakan bagi menyemai budaya bertanggungjawab serta memperkukuh kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat.

Sehingga kini, sebanyak 7,919 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan di tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672 melibatkan 5,708 warganegara tempatan dan 2,211 warganegara asing.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button