PRN Johor: SPR telah keluarkan 24,677 kertas undi pos
JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 24,677 kertas undi pos kepada individu yang layak mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, ia seperti diperuntukkan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
Beliau berkata, pengeluaran kertas undi pos pada hari ini dijalankan petugas pilihan raya di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kesemua 24,677 kertas undi pos itu terdiri daripada 23,288 kategori Borang 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera dan Petugas Media), 1,044 kertas undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara) dan 345 kertas undi pos kategori Borang 1C (Agensi/Organisasi).
“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, SPR mengingatkan semua pengundi pos membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum pukul 5 petang pada hari mengundi iaitu pada 11 Julai depan.
“Pengundi juga diingatkan sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya.
SPR dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, urusan permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi PRN Johor boleh dilakukan secara dalam talian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












