Penetapan kadar harga perkhidmatan kurier terpulang kepada pihak industri
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Garis Panduan Harga Rujukan bagi Perkhidmatan Kurier merupakan langkah bagi mengimbangi kebajikan pekerja, kualiti perkhidmatan kepada pengguna serta persaingan sihat di kalangan para pemegang lesen perkhidmatan kurier.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kementeriannya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa mengutamakan kepentingan pengguna dari pelbagai sudut termasuk memantau kadar harga perkhidmatan yang ditawarkan.
“Pertumbuhan pesat e-Dagang telah mengubah landskap industri kurier negara di mana jumlah bungkusan telah meningkat dari 52 juta pada tahun 2015 kepada lebih 899 juta sehingga suku ketiga tahun 2024.
“Industri ini juga telah menyediakan lebih 150,000 peluang pekerjaan sebagai tenaga kerja industri, di mana 80 peratus daripada penghantar parcel terdiri daripada golongan B40.
“Persaingan yang sihat dan penawaran harga yang kompetitif di antara syarikat-syarikat kurier memberikan kuasa memilih kepada para pengguna di Malaysia,” katanya pada sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal (Machang) yang meminta justifikasi kenaikan harga minimum penghantaran barang kurier melalui Garis Panduan Harga Rujukan bagi Perkhidmatan Kurier sedangkan jumlah penjualan dalam talian semakin meningkat saban tahun.
Mengulas lanjut katanya, peruntukan Seksyen 36, Akta Perkhidmatan Pos 2012 [Akta 741], kadar bayaran pos yang ditentukan oleh pemegang lesen hendaklah berasaskan kepada prinsip kadar secara munasabahnya adil dan tidak berdiskriminasi serta kadar berorientasikan kos dan tidak mengandungi diskaun yang secara tidak munasabah memudaratkan peluang persaingan pemegang lesen yang lain.
Selain itu katanya, kadar distrukturkan dan peringkat ditetapkan untuk menarik pelaburan dalam industri perkhidmatan pos dan kadar mengambil kira standard kadar yang disyorkan oleh suatu organisasi antarabangsa yang Malaysia merupakan anggota berhubung dengan perkhidmatan pos.
“Pada tahun 2022, MCMC telah memperkenalkan Garis Panduan Harga Rujukan bagi Perkhidmatan Kurier untuk mengimbangi penyampaian perkhidmatan kurier yang berkualiti kepada pengguna dan persaingan yang sihat oleh industri termasuklah penawaran harga perkhidmatan yang tidak predatori (predatory pricing).
“Garis Panduan Harga Rujukan ini merupakan panduan harga yang boleh dikenakan oleh pemegang lesen kepada pelanggan mereka namun ia bukanlah harga minimum yang mandatori.
“Garis Panduan Harga Rujukan adalah kaedah kawal selia kendiri industri di mana penetapan kadar harga perkhidmatan kurier di Malaysia masih terpulang kepada pihak industri berdasarkan kos yang efisien, selari dengan Seksyen 36 Akta Perkhidmatan Pos 2012,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








