China kekal rakan dagang terbesar Malaysia – Anwar
BEIJING – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hubungan erat Malaysia dan China terus diperkukuh dengan pelaksanaan segera terhadap semua persetujuan yang dicapai, khususnya dalam aspek perdagangan dan pelaburan.
Beliau berkata, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut dengan nilai perdagangan dua hala mencecah AS$106 bilion pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan kebergantungan dan kerjasama kukuh antara kedua-dua negara.
“Malaysia komited untuk meningkatkan eksport bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, perubatan, farmaseutikal serta minyak dan gas. Ini akan memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Xi Jinping di Great Hall of the People, Beijing, hari ini.
Pertemuan itu menjadi kemuncak lawatan kerja beliau ke China dan merupakan kesinambungan daripada lawatan negara Presiden Xi ke Malaysia pada April lalu yang menyaksikan 31 memorandum persefahaman (MoU) serta perjanjian ditandatangani.
Anwar turut menyatakan sokongan terhadap gagasan Presiden Xi, termasuk Belt and Road Initiative (BRI) yang memperkukuh keterhubungan dunia serta Global Governance Initiative (GGI) yang diketengahkan dalam Sidang Kemuncak Shanghai Cooperation Organisation (SCO) baru-baru ini.
Dalam pada itu, Presiden Xi menyatakan sokongan penuh bagi mempercepatkan penyertaan Malaysia sebagai anggota penuh BRICS, yang disifatkan Anwar sebagai satu penghormatan besar terhadap keyakinan China kepada Malaysia.
“Saya amat menghargai keikhlasan persahabatan yang dizahirkan Presiden Xi serta penghormatan yang diberikan kepada Malaysia.
“Meskipun kita sebuah negara kecil, keyakinan, saling percaya dan tekad bersama berupaya menjadi kekuatan besar untuk membentuk masa depan yang lebih aman, adil dan makmur,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














